‘FRUST’ DALAM BERCINTA
7 Mac 2011 oleh 
gentarasa    Siapa  yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata  pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi  tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi  rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Siapa  yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata  pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi  tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi  rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati  kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur  hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja,  berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah  yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi  kecintaanmu pada satu ketika.”
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia  akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya,  tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan  kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau  cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam  bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani  ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara  yang paling kejam.
Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam  percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana  pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala  orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak  ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah  anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan  cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh  orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan.  Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai  sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang  dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu.  Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran  segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan  positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi  percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang  datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya  pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan  Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan  kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan  kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,   ” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan  kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya  ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui,  Allah-lah yang lebih mengetahui.” 
Kita inginkan orang yang kita cintai itu  terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan,  beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah  diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer).  Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak  lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust  kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter…  segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta  diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata,  “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”
Harga diri orang yang putus cinta selalu  rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras  terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi  (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita  masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!”  Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada  pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang  pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang  lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!
Jangan katakan kenapa aku yang kena?  Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih.  Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta  dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan  untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan  Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan  termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya  manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust  cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar  merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh  satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita  mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat,  “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah  Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering  kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
Saya punya banyak cerita betapa ramai  pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak  sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih  dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi  begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust  bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan  orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum  nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi  apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan  terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas  dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa  jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan.  Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk  mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung  sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.
Percayalah frust dalam bercinta  itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah  sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan  kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang  tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika  ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu  faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami,  pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani  hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi  sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan  kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan  besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada  ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum  menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah  ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?  Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap  remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja  terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti  siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal  dalam peperiksaan mereka.
Remaja adalah kelompok manusia yang  sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam  kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)   Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar  menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan  cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal,  nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah  usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis  pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  Dan di tahap ini  juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka,  kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan  teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap.  Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah  satunya frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia  melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati.  Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa,  individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka  terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah  temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama  berulang-ulangkali.
Jadi langkah pertama supaya  remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa  setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat  mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap  guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan  sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta,  hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua  itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang  tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli  sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan  terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja  yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah  didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika  manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah)  maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang  manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi  yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa,  maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita  rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk  membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa  jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa  dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah  hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan  izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah  didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’  di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan  utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan  justeru   hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak  berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa  berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati  ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita  sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri.  Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita.  Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata,  “we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.”  Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa  tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin  memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia  ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah.  Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan  kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti  mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan  mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan  pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika  sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada  perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan  mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita  untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda,  samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan.  Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan  cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan  anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara  berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.  Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan  perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa  remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia  tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu,  belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale  Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan  satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya,  gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan  ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak  kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat  kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.
Masing-masing daripada kita akan  mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.  Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana  selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak  boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt  datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini  akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan,  rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah  sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya,  selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak  ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah  satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…
Cabaran kita bukan untuk mengawal  perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan  diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.  Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat  hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah.  Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!
Sematkan di hati kata pujangga ini:“Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”
nota cinta: alamak!!! bercintakah aku...haha  sape kate bercinta salah?! meh habaq kat aku.....
 sape kate salah tu memang bukan spesies homosapien la... bak kate SAIF_ADDIN, CINTA ITU HAKIKAT, PELENGKAP NYAWA DALAM JASAD, FITRAH MANUSIA SEJAGAT, BUT.... NO COUPLE BEFORE AKAD!!! ( yg ini aku tambah okey!!) (^_^)