Ah, terlalu sukar memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-iang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkilkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk disorong-tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, bila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.
Namun itu hanya bisik ‘hati besar’ku. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri… ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa. Maafkan… lupakan, cintakan, sayangkan. Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.
Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
“Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan. Nesacaya engkau akan dapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara.”
Wahai diri, api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.
“Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan. Nesacaya engkau akan dapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara.”
Wahai diri, api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.
Musim-musim berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu, aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan kuterjah perangkap itu berkali-kali? Oh, tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali!
Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan kubawa dalam safar kehidupan yang pendek itu. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai:
“Apa yang kita berikan akan kita terima kembali.”
“Apa yang kita berikan akan kita terima kembali.”
Ah, betapa leganya sekarang… Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar dalam tazkirah – yang punya tabsyir dan inzar – bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa.
Kini hatiku tertanya-tanya lagi… siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan? Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil dan kecil itu untuk terus berdendam? Ya, Allah, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang… aku ‘terlanjur’ menumpang hak-MU.
nota kaki: copy & paste dari GENTA RASA...peringatan buat diri yang sering ber'tuhankan' nafsu amarah tanpa disedari.... ku mohon maaf pada insan2 yang pernah kusakiti dalam sedar ataupun tanpa kusedari...
No comments:
Post a Comment